Sunday 20 February 2011

Pedoman: Fesyen Islam terkini langgar larangan Allah


DIRIWAYATKAN oleh Imam Muslim, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Dua jenis manusia yang akan menjadi ahli neraka, yang aku tidak sempat melihat mereka, (kerana tidak ada pada zamanku. Mereka akan lahir pada akhir zaman). Yang pertama ialah kaum yang memegang alat sebatan seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia (supaya melakukan kezaliman).
“Golongan kedua ialah kalangan perempuan berpakaian tetapi bertelanjang, pakaian yang menggoda, pakaian yang nipis, pakaian yang ketat; di atas kepala mereka dihias.

“Rambutnya laksana bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium baunya pun, walaupun sesungguhnya bau syurga dapat dihidu dari jauh.” Umum mengetahui, dalam dunia hari ini, rata-rata sibuk memajukan diri dalam mengejar arus kemodenan yang bukan saja membabitkan bidang teknologi, malah turut memberi kesan kepada corak pemikiran, pemahaman, pemakaian, agama dan budaya.
Sememangnya, sebagai umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa memajukan diri supaya tidak ketinggalan dan terus diperlekehkan oleh pihak lain.

Bagaimanapun, dalam mengejar angin perubahan ini, ramai antara kita terlupa bahawasanya kita banyak melanggar batasan yang ditetapkan Allah SWT. Ramai tidak menyedari fesyen pemakaian yang diikuti bertentangan dengan konsep Islam yang menuntut supaya menjaga aurat.

Arus perubahan zaman ini menyaksikan wujud kelonggaran dan kelekaan dalam kehidupan kita, di mana ada di kalangan suami dan ibu bapa membenarkan atau membiarkan anak dan ahli keluarga mereka mendedahkan aurat.Paling mengaibkan, perubahan fesyen masa kini menjadikan ramai menutup aurat secara menipu.

Jadi, bagaimana pula ramai yang menutup aurat tetapi sebenarnya menipu? Keadaan ini boleh dilihat apabila ramai memakai pakaian yang menutup keseluruhan tubuh mereka tetapi dalam masa sama, pakaian berkenaan terlalu ketat hingga menampakkan pula bentuk susuk tubuh mereka.Selain itu, ada pula yang hanya menutup aurat pada waktu tertentu seperti pada Jumaat dengan alasan menghormati hari berkenaan, sedangkan hari lainnya mereka memakai pakaian yang menampakkan aurat.

Ramai yang kembali mendedahkan aurat dan membuang pakaian menutup aurat pada masa lain, ketika ke pejabat, membeli-belah, melancong ke luar negara, bersukan dan beriadah seolah-olah ajaran Islam ini ada hadnya dan hanya sesuai pada hari tertentu.

Firman Allah SWT, bahawasanya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka, umpan dan bahan bakar api neraka itu terdiri daripada manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras dan kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan- Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (at-Tahrim, 6) Berdasarkan ayat ini, jelas Allah SWT mewajibkan setiap hamba-Nya menjaga diri serta keluarga supaya tidak melanggar larangan-Nya selain tidak tergelincir daripada batas sempadan antara kebaikan dan kejahatan.

Umat Islam diseru supaya tidak terjebak dalam perkara mungkar yang akhirnya membinasakan diri sendiri.

Firman Allah SWT: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Al-Isra, 7) Sebagai hamba Allah yang lemah dan pastinya tidak akan tertahan apabila menerima azab-Nya yang pedih, hendaklah kita melihat adakah pemakaian kita ini seperti kaum yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW atau kita mengikut sewajarnya cara pemakaian yang disyaratkan dalam Islam.

Marilah kita bersama-sama meneguhkan sifat takutkan azab Allah dalam perkara ini kerana setiap perkara yang kita lakukan, walaupun sekecil zarah sekalipun, pasti akan diazab oleh Allah SWT kelak.

Walaupun kita ingin kelihatan maju dengan mengikuti setiap perubahan teknologi dunia termasuk dalam cara berpakaian, hukum haram tetap tidak dapat dielakkan sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Ahzab, 36 yang bermaksud: “Dan tidaklah wajar bagi orang- orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (mereka tidak) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka; dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia sesat dengan kesesatan yang nyata.”

No comments:

Post a Comment